Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
15 Mei 2018 - Majlis Kesyukuran Sempena Penganugerahan Buku Umum Terbaik ASEAN 2018

​Oleh: Osman Abu Bakar
Foto: Haji Saini bin Haji Metussin


Bidang Penerbitan Wadah Terpenting Penyebaran Ilmu

Negara kita Brunei Darussalam tidak boleh ketinggalan untuk terus aktif dalam bidang penerbitan, kerana bidang penerbitan adalah wadah terpenting bagi penyebaran ilmu.

Ilmu tidak akan berkembang tanpa penerbitan, kerana itu negara yang dilihat maju adalah negara-negara yang membuka seluas-luasnya pintu penerbitan.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz, Mufti Kerajaan ketika berucap di Majlis Kesyukuran sempena penganugerahan buku umum terbaik ASEAN 2018 bagi buku ‘Raja Melakar Sejarah’ dan buku terjemahan terbaik 2018 bagi buku ‘The King Who Shapes History’ yang diadakan di ruang legar, Bangunan DarulIfta’, Jabatan Mufti Kerajaan pada 29 Sya’aban, 1439H. bersamaan 15 Mei, 2018.

Menurut Yang Berhormat Pehin Brunei berpotensi tinggi untuk merebut kedudukan terbaik dalam penerbitan.  

“Buktinya, Jabatan Mufti sahaja sudah dua kali menerima anugerah berprestij ini, berdasarkan penilaian oleh ahli-ahli penal professional bertaraf tinggi, sekali telah menerima Anugerah Perdana Penerbit Nusantara, di Kuala Lumpur Melaysia pada tahun 2014 kerana menerbitkan buku ‘Qanun Jenayah Syar’iah: Satu Pengenalan’ dan ‘The Shari’ah Panel Code:  An Introduction’ dan pada tahun ini, 2018 menerima anugerah lebih besar lagi bertaraf serantau, bagi kategori buku umum terbaik dan terjemahan terbaik 2018 iaitu buku-buku: ‘Raja Melakar Sejarah’ dan ‘The King Who Shapes History’” tegasnya.

Menyentuh mengenai majlis kesyukuran yang diadakan, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa majlis ini layak diadakan, untuk menyebut-nyebut dan mengingat-ingat akan nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kita iaitu anugerah buku umum terbaik dan terjemahan terbaik ASEAN 2018 iaitu sesuai dengan Firman Allah Ta’ala (tafsirnya):  “Dan terhadap nikmat Tuhanmu hendaklah engkau menyebut-nyeburnya (sebagai tanda engkau bersyukur)”.

“Kita wajar berbangga dengan pencapaian ini.  Tetapi perlu saya tegaskan, kebanggaan itu bukanlah untuk saya dan malah bukan juga untuk Jabatan Mufti, tetapi adalah kebanggaan untuk negara.  Kebanggaan untuk kita semua.  

“Inilah sikap yang betul, yang perlu dimiliki oleh setiap warga awam dan institusi atau agensi kerajaan, iaitu apa jua yang kita lakukan dan hasilkan adalah untuk negara.  Kerana itu kita mesti membina azam sambil berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik bagi mengharumkan nama negara,” tegasnya.

Manakala rantau telah menilai buku ini sebagai terbaik, maka katanya wajarlah rasanya bagi setiap kita, khasnya para warga awam di negara ini untuk memiliki buku ini sebagai bacaan   kerana adalah tidak patut orang lain pula membacanya dan malah telah memberikan penilaian terbaik kepadanya, sedang kita sendiri di dalam, ketinggalan tidak mengetahui  apa-apa  tentang  isinya.     

“Ini adalah sangat tidak patut, orang lain pula lebih tahu dan lebih mengenali raja kita daripada kita sendiri,” katanya tegas.

Menurut Yang Berhormat Pehin, buku ‘Raja Melakar Sejarah’ dan ‘The King Who Shapes History’ bukan sahaja sedang beredar di Negara Brunei Darussalam, malah juga sudah turut beredar sehingga ke luar negara.
Penganugerahan bagi buku-buku tersebut telah diumumkan di Majlis Anugerah Buku ASEAN 2018 anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara Malaysia (YPBM) sempena majlis Anugerah Buku Negara Malaysia 2018 yang berlangsung di Pusat Persidangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Malaysia pada 30 April, 2018.  Penilaian bagi buku-buku tersebut telah dibuat oleh sebuah  Penilai Profesional Anugerah Buku Negara (YPBN), Malaysia yang dipengerusikan oleh Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar. 
Anugerah bagi Buku Umum Terbaik ASEAN 2018 telah disampaikan oleh, Tetamu Kehormat Majlis,  Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara,   Malaysia,   sementara   anugerah  bagi   Buku Terjemahan   Terbaik telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Serba Dinamik Holdings Berhad.
Mewakili Jabatan Mufti Kerajaan untuk menerima anugerah tersebut ialah Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Awang Haji Saiful Nizam bin Haji Sulaiman.


Attachments