Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

01 Mei 2020 - Ceramah Khas YB Pehin Mufti Bertajuk ‘Apa Kata Mufti Tentang COVID-19’ (siri ke-3)

​Oleh: Osman Abu Bakar


Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan menyeru umat Islam untuk sama-sama menggunakan secara konsisten “Vaksin Ketuhanan” iaitu sedekah dan doa untuk memerangi COVID-19 sementara menunggu vaksin biasa yang bakal dihasilkan.

Sedekah dan doa, menurutnya tidak syak lagi boleh diyakini mampu menolak dan melawan Coronavirus-19.

Yang Berhormat Pehin membuat seruan tersebut di dalam ceramah khas Yang Berhormat Pehin bertajuk ‘Apa Kata Mufti Tentang COVID-19’ (siri ke-3) yang disiarkan melalui radio dan televisyen Brunei pada hari ini Jumaat, 1 Mei, 2020.

Katanya bersedekah adalah perkara yang dianjurkan oleh agama,  rahsianya tersendiri, antaranya ialah untuk menolak atau mencegah apa jua perkara yang tidak kita ingini sebagaimana hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam riwayat at-Thabarani, ertinya:  “Sedekah itu menutup 70 pintu keburukkan”, dan ada lagi riwayat lain, ertinya:  “Sedekah itu menolak atau mecegah 70 bala, sekurang-kurangnya (bala) penyakit sopak dan kusta.”

Tegasnya dapat kita bayangkan, kalau bala atau penyakit itu datang daripada Allah, kerana bersebab Allah murka terhadap manusia yang melakukan dosa, maka dengan sedekah ada harapan bala atau penyakit itu akan hilang atau sembuh, disebabkan murka Allah telah padam dengan berkat sedekah.

“Sedekah adalah hijab (pendinding) kepada bala.  Tidak kira sedekah itu banyakkah ataupun sedikit, semua berfungsi sama sahaja, mampu mendinding dan menolak bala.  Malah bukan bala dunia sahaja seperti bala COVID-19, bahkan bala akhirat berupa azab api neraka juga mampu disangga, ditolak oleh sedekah berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam,” jelasnya.

Merujuk kepada doa, Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa pendekatan Brunei Darussalam mengutamakan doa untuk memerangi COVID-19 adalah pendekatan yang tidak boleh dipertikai, lebih-lebih lagi pendekatan ini bertamah berkat apabila raja kita sendiri dari awal-awal lagi telah menekankan tentang doa itu.

“Dua titah perutusan khas baginda mengenai COVID-19, ada menyebut doa, malah baginda sendiri di dalam titah perutusan itu melafazkan doa.  Dan bahkan, beerikut di dalam titah perutusan menyambut Ramadhan, baginda juga telah membuat satu kejutan mengingatkan kita semua tentang doa Qunut Nazilah yang tidak dapat dibaca di masjid pada hari Jumaat, mengapa ia tidak dibaca dalam mana-mana sembahyang fardhu lima waktu?  Dengan ini jelas, betapa perihatinnya raja kita terhadap doa,” jelasnya.

Doa adalah penyelamat bukan pembinasa, kerana itu kalau berdoa, tegasnya kita disuruh supaya bersungguh-sunggu, berdoa dengan hati yang benar-benar ikhlas dan khusyuk, bukan setakat menadah tangan tetapi hati kita liar tidak bulat kepada Allah.

Sebagai merista perkara yang baik, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam sudah dan masih sahaja terus memakai/mengambil dua-dua vaksin ketuhanan ini, khasnya semenjak Brunei turut dilanda oleh wabak COVID-19 dan jutaan syukur serta puji ke hadrat Allah subhanahu wa Ta’ala, kerana Brunei dikurniakan keadaan luar biasa berbanding di tempat-tempat lain, di mana jangkitan wabak  di negara ini sudah berada ditahap sifar (0) semenjak lebih dari seminggu ke belakangan ini.  

Ini tidak syak lagi, katanya adalah kerana satu rahmat daripada Allah, manakala kita melihat di tempat-tampat lain masih sahaja bergelut dengan jangkitan dan kematian.

“Insya Allah Brunei, akan terus menggunakan vaksin ketuhanan ini tanpa ada limit masa, mengambil kira ia memang pakaian Brunei, dan juga sebagai mematuhi galakkan Allah untuk terus berdoa, jangan berhenti dari berdoa, walaupun kiranya bencana sudah sirna, sudah hapus, namun berdoa tetap diteruskan,” tegasnya.

Attachments