Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
17 Ogos 2020 - Dua Buah Buku Terbaharu Jabatan Mufti Kerajaan


Sebagai pusat rujukan ilmu dan maklumat Islam, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri menyedari akan kepentingan yang signifikan untuk hukum dan syariat Islam dikongsikan serta disebarkan dalam situasi masyarakat sedang berhadapan dengan penularan wabak COVID-19. Sehubungan dengan itu, sebagai usaha padu dalam sama-sama menunaikan tanggungjawab menghadapi dan membendung penularan wabak berkenaan, Jabatan Mufti Kerajaan telah mengambil inisiatif dan usaha dalam bentuk ceramah melalui Radio dan Televisyen serta melalui penulisan di akhbar-akhbar setempat khasnya akhbar rasmi kerajaan Pelita Brunei.  

Tidak terhenti setakat itu, initiatif tersebut diperluaskan lagi dengan menerbitkannya dalam bentuk buku dengan tujuan ingin menyebarluaskannya ke khalayak yang lebih ramai.  Semoga dengan penerbitan dua buku ini akan dapat memberi manfaat dan  bimbingan kepada khalayak pembaca lebih-lebih lagi ketika kita dan dunia masih berhadapan dengan wabak COVID-19 mahupun jika berlaku wabak-wabak yag lain.


Buku-buku yang dimaksudkan itu ialah:

1. COVID-19: APA KATA MUFTI? (Siri 2 & 3)

Buku ini adalah hasil tulisan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan yang dipadankan dari ceramah khas Yang Berhormat Pehin  mengenai COVID-19 yang masing-masing disampaikan di rancangan khas Radio dan Televisyen Brunei pada hari Jumaat, 23 Sya’aban 1441 Hijrah bersamaan 17 April 2020 Masehi dan pada hari Jumaat 7 Ramadhan 1441 Hijrah bersamaan 1 Mei 2020 yang lalu.

Buku ini antara lain menjelaskan bahawa, sebagai umat Islam dalam menghadapi wabak penyakit kita tidak seharusnya hilang punca kerana kita mesti faham bahawa apa saja perkara, terjadinya adalah daripada Allah, termasuk penyakit.  Dia yang mendatangkan, dan Dia juga yang menarik balik. Untuk sembuh kita memang disuruh untuk berubat, tetapi ubat hanyalah sebab, namun penyembuh yang sebenar-benarnya itu adalah Allah.

Kita menangani wabak ini, seperti juga orang  lain menanganinya, iaitu dengan mengambil langkah-langkah pencegahan dan perawatan secara physical, ini saja belum dianggap memadai, melainkan, kita juga mesti komited kepada “pertolongan Allah” iaitu “dengan membanyakkan doa.

Sehubungan dengan itu Yang Berhormat Pehin menyeru umat Islam untuk sama-sama menggunakan secara konsisten “Vaksin Ketuhanan” iaitu sedekah dan doa untuk memerangi COVID-19 sementara menunggu vaksin biasa yang bakal dihasilkan.

Sedekah dan doa, menurutnya tidak syak lagi boleh diyakini mampu menolak dan melawan Coronavirus-19.

Bersedekah adalah perkara yang dianjurkan oleh agama dan mempunyai rahsianya yang tersendiri, antaranya ialah untuk menolak atau mencegah apa jua perkara yang tidak kita ingini sebagaimana hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam riwayat at-Thabarani, ertinya:  “Sedekah itu menutup 70 pintu keburukkan”, dan ada lagi riwayat lain, ertinya:  “Sedekah itu menolak atau mecegah 70 bala, sekurang-kurangnya (bala) penyakit sopak dan kusta.”

Sedekah juga  adalah hijab (pendinding) kepada bala.  Tidak kira berapa jumlahnya sedekah itu,  banyak ataupun sedikit, semua berfungsi sama sahaja, mampu mendinding dan menolak bala.  Malah bukan bala dunia sahaja seperti bala COVID-19, bahkan bala akhirat berupa azab api neraka juga mampu ditolak oleh sedekah berdasarkan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Di dalam buku ini  Yang Berhormat Pehin turut menegaskan bahawa pendekatan Brunei Darussalam mengutamakan doa untuk memerangi COVID-19 adalah pendekatan yang tidak boleh dipertikai, lebih-lebih lagi pendekatan ini bertamah berkat apabila raja kita sendiri dari awal-awal lagi telah menekankan tentang doa itu.

Doa adalah penyelamat bukan pembinasa, kerana itu kalau berdoa kita disuruh supaya bersungguh-sungguh, berdoa dengan hati yang benar-benar ikhlas dan khusyuk, bukan setakat menadah tangan tetapi hati liar tidak bulat kepada Allah.

Disamping huraian mengenai sedekah dan doa, buku setebal 63 mukasurat ini turut dimuatkan dengan beberapa doa, zikir dan ayat-ayat al-Qur’an untuk dibaca dan diamalkan antaranya Istighfar, doa Nabi Allah Yunus ‘alaihissalam, kelebihan ayat al-Kursi, kelebihan surah Yaasin dan beberapa bacaan pendek.



2. COVID-19: BIMBINGAN SYARA’ dan ISU-ISU IBADAT

Dalam negara berusaha menangani wabak COVID-19, Bahagian Buhuth dan Irsyad, Jabatan Mufti Kerajaan telah mengambil inisiatif menyampaikan bimbingan hukum (irsyâd) tentang tatacara/panduan menghadapi wabak COVID-19 menurut syariat Islam di samping menghuraikan beberapa permasalahan atau isu-isu ibadat yang berbangkit di dalam situasi wabak COVID-19. Inisiatif ini dizahirkan di dalam ruangan Irsyad Hukum di Akhbar Rasmi Kerajaan Pelita Brunei sebagai kesinambungan daripada ceramah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan yang bertajuk “Apa Kata Mufti Mengenai COVID-19” yang disiarkan di Radio dan Televisyen Brunei sebanyak tiga siri.

Penulisan bimbingan hukum ini, kemudian diterbitkan dalam bentuk buku. Khusus dalam Bahagian Pertama, buku setebal 98 muka surat ini mengongsikan beberapa panduan yang perlu diikuti dalam menghadapi wabak menurut syariat Islam antaranya dengan bermunâjât kepada Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ iaitu galakkan membaca Qunut Nazilah, kelebihan mendirikan sembahyang sunat Hajat, memperbanyakkan istighfar, doa dan zikir; bersangka baik kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, mengamalkan kebersihan, mencegah daripada sebarang kemudharatan, menjaga adab bersin dan mentaati perintah pihak berautoriti. 

Bahagian Kedua buku ini pula mengetengahkan beberapa isu permasalahan hukum mengenai ibadat yang timbul semasa penularan wabak seperti hukum berkaitan sembahyang Jumaat, sembahyang berjemaah, hukum mentaati ulil-amri, hukum memakai penutup muka dan penggunaan hand sanitizer ketika sembahyang.

Secara rengkas buku ini menggariskan sembilan langkah sebagai tindakan dan peringatan dalam menghadapi COVID-19 terutama dalam melaksanakan dan mematuhi saranan/nasihat (Standard Operating Procedure (SOP) pihak berkuasa dalam menghindari jangkitan dan penularan wabak penyakit;  dan penyelesaian beberapa persoalan dan keraguan hukum yang berkaitan dengan ibadat sembahyang.


Harga Jualan:

Setiap buku ini akan dijual dengan harga $4.00 setiap naskhah.  Sementara pada hari ini 17 Ogos, 2020 sehingga 31 Ogos, 2020 buku ini akan dijual dengan harga istimewa secara pakej, iaitu:

Pakej Satu:  Buku COVID-19: APA KATA MUFTI? (Siri 2 & 3) dan COVID-19: BIMBINGAN SYARA’ dan ISU-ISU IBADAT dijual dengan harga $ 7.00/pakej.

Pakej Dua:  Buku COVID-19: APA KATA MUFTI? (Siri pertama),  COVID-19: APA KATA MUFTI? (Siri 2 & 3) dan COVID-19: BIMBINGAN SYARA’ dan ISU-ISU IBADAT dijual dengan harga $ 10.00/pakej.



Disediakan oleh:
Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri
Negara Brunei Darussalam.
Attachments