Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
29 Oktober 2020 - Menyertai Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam Ke-34

​Oleh: Osman Abu Bakar






Yang Berhormat Pein Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan berkata penularan wabak COVID-19 dapat dianggap sebagai satu musibah yang amat dahsyat.  

Namun selaku orang Islam, tegasnya kita tidak boleh lari dari melihatnya sebagai 'ketentuan’ Allah.
 
Di sepanjang sejarah,  jelasnya, umat manusia didapati tidak sunyi dari mengalami pelbagai serangan oleh makhluk-makhluk Allah, termasuk makhluk virus.

Di masa kekuasaan Fir’aun, katanya Allah telah menghantar taufan, belalang, kutu dan katak sebagai pengajaran,  dan kepada dunia hari ini, Allah telah menghantar virus, sejenis hidupan yang amat halus, yang tentu saja tidak kosong dari hikmah di sebalik kejadian.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan atas talian di Darulifta Brunei Darussalam bagi Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam ke-34 mengenai Kerjasama Islam dalam menghadapi malapetaka dan bencana yang diadakan dalam bentuk webinar dan melalui ruang siber yang berpusat di Republik Islam Iran.  

Menurut Yang Berhormat Pehin, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengelakkan serangan atau jangkitan wabak ini dan kita telah ikut dan patuhi semua arahan oleh pihak berkuasa dan kesihatan, seperti dengan menjalani saringan, memakai topeng muka, menggunakan hand senitizer,      mengadakan penjarakan sosial dan lain-lain sebagainya.  Semua ini sudah dilakukan oleh seluruh dunia.

Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam pula, tegas Yang Berhormat Pehin amat bertuah di bawah pimpinan seorang raja yang sangat prihatin, yang tidak putus-putus memberikan galakan rohani berupa nasihat, supaya rakyat bersabar dan jangan mengabaikan doa, di mana Baginda sendiri dalam perutusan-perutusan mengenai Covid-19 telah berkenan melafazkan sendiri doa-doa tersebut.

Kita yakin, dengan langkah bersepadu untuk mengelakkan jangkitan, dan ditambah lagi dengan keberkatan ayat-ayat dan doa-doa yang terus diamalkan, jelasnya Brunei Darussalam kini alhamdulillah, mendapati dirinya selamat, hanya merekodkan 146 kes positif, 143 sembuh dan 3 kematian.  

Semenjak selama 160 hari dari tarikh 6 Mei, 2020 sehingga sekarang, jelasnya lagi Brunei Darussalam alhamdulillah adalah bebas sepenuhnya daripada jangkitan, tanpa terdapat sebarang kes baru atau kes aktif.

Di dalam ucapannya itu juga, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam mengambil pendekatan menangani wabak ini dengan beberapa cara, iaitu:  

i. Mengambil tindakan awal sebelum penularan berlaku oleh pihak-pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan bersama-sama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk memastikan adanya kesiapsiagaan untuk menghadapi jangkitan.

ii. Apabila berlaku kes pertama, dengan serta merta langkah-langkah pencegahan pun diambil oleh semua agensi kerajaan, termasuk mengambil kira nasihat-nasihat ulama dan para pakar lainnya di dalam bidang masing-masing.

iii. Selain mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard), Brunei juga komited mengamalkan doa-doa khas perlindungan dari al-Qur’an dan hadits sebagai mengambil sandaran, bahawa ayat-ayat al-Qur’an adalah penawar dan rahmat, sementara hadits pula memberitahu, bahawa doa itu mampu untuk menolak qadha.

iv. Ayat-ayat dan doa-doa khas ini dibaca ditempat-tempat yang bersesuaian, seperti di rumah-rumah, di masjid-masjid dan lain-lain, malah turut juga disiarkan di media-media, khasnya media elektronik, Radio dan Televisyen.  Amalan seperti ini adalah berterusan sehingga sekarang.

Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam ke-34 diadakan dalam bentuk webinar dari 29 Oktober hingga 3 November 2020 di Republik Islam Iran. 

Memetik kenyataan dari laman web persidangan tersebut,  tujuan Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ini adalah untuk mewujudkan perpaduan dan kesetiakawanan di kalangan umat Islam, mengembangkan ijma’ di kalangan para ulama dan saintis demi penyelarasan ilmiah dan budaya mereka, mengemukakan penyelesaian praktikal untuk mencapai Perpaduan Islam dan Ummah Islam Yang Bersatu di Dunia Islam dan menyelesaikan masalah umat Islam serta memberikan penyelesaian untuk mereka.

Menurut laman web itu juga, peserta persidangan dipilih daripada kalangan elit dan tokoh terpelajar, menteri-menteri negara Islam, para ulama dan para mufti, professor-professor universiti dan masyarakat akademik dan budaya lainnya, di dalam dan luar negara. Ratusan cendekiawan, ulama dan para pemikir Islam dari pelbagai negara seperti Perancis, Syria, Lebanon, Australia, Mesir, Malaysia, Sudan, Pakistan, India, Azerbaijan, UK, Jordan, Iraq, Indonesia, Gambia, Palestin, Afghanistan, Senegal, Libya, Bahrain, Algeria, Yemen, Yunani, Turki, Uganda, Kuwait, Qatar, Belanda, Emiriah Arab Bersatu dan lain-lain juga turut mengambil bahagian dalam persidangan ini.

Penyertaan Yang Berhormat Pehin dalam persidangan ini adalah atas undangan Tuan Yang Terutama Dr. Hamid Shahriari, Setiausaha Agong World Forum For Proximity of Islamic Schools of Thought.



Attachments