Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
14 April 2021 - Ceramah Khas Bersama Mufti Sempena Awal Ramadhan 1442H/2021M

​Oleh: Awang Osman Bin A. Bakar



Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat, sangat-sangat gembira dengan kedatangan bulan ini.  Kerana kedatangannya bukan datang kosong, tetapi datang membawa berita gembira untuk kita semua, umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadits riwayat Ahmad, bermaksud:  “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkat, di mana Allah telah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya.  (Tahukah kamu) pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup serta para syaithan dibelenggu.  Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.  Barangsiapa yang dijauhkan dari kebejikan bulan ini, bererti dia itu jauh dari segala bentuk kebajikan.”

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika menyampaikan ceramah khas Bersama Mufti sempena awal Ramadhan 1442H/2021M yang disiarkan di Radio dan Televisyen Brunei pada hari ini, 1 Ramadhan, 1442H bersamaan 14 April, 2021M.

Ramadhan, menurut Yang Berhormat Pehin adalah bulan agong, bulan suci yang menyucikan dosa-dosa orang-orang bertaubat, bulan yang datang untuk mengangkat derajat orang-orang beriman yang setia dan mentaati Allah.   Pada bulan ini juga Allah telah menurunkan kitab-kitabNya termasuk kitab suci al-Qur’an yang diturunkan pada malam kedua puluh empat Ramadhan.  Ada juga pendapat lain, al-Qur’an turun pada hari Isnin 17 Ramadhan.

Ibadat Puasa Ramadhan, tegasnya  adalah bersifat amat istimewa dan tersendiri.  Di antara keistimewaannya itu:

i. Penghapus dosa, sebagaimana hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi memberi tahu, maksudnya:  ‘Adalah sembahyang lima waktu dan sembahyang Juma’at membawa ke Juma’at yang berikutnya, serta puasa Ramadhan membawa ke Ramadhan yang berikutnya adalah penghapus dosa-dosa di antara tempoh-tempoh tersebut  (apabila pelakunya menjauhi dosa-dosa besar).”

ii. Mengundang keampunan Allah, sebagaimana hadits muttafaqun ‘alaih, riwayat al-Bukhari, maksudnya:  “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan serta (dengan niat) semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.”

iii. Mendapat ‘dua’ kegembiraan, sebagaimana hadits muttafaqun ‘alaih, riwayat al-Bukhari, maksudnya:  “Bagi orang yang berpuasa itu akan mendapat ‘dua’ kegembiraan:  Pertama, kegembiraan apabila dia berbuka (setelah melaksanakan kewajiban puasanya) dan kegembiraan kedua, apabila dengan puasanya itu dia berjumpa dengan Tuhannya.”

Ibadat Puasa, tegasnya lagi pada hakikatnya ialah menahan diri daripada makan minum dan melayani keinginan-keinginan hawa nafsu semata-mata untuk meraih keredhaan Allah.  Ia berstatus “rahsia” antara hamba dengan Tuhannya.  Dalam makna, tiada siapapun yang dapat mengetahui adakah benar si hamba itu berpuasa ataupun tidak, hanya Allah jua sahaja yang mengetahui, disamping si hamba yang ampunya diri sendiri, sementara orang lain, tidak mengetahui.  Kerana itulah kedudukan ganjaran puasa adalah tersendiri di sisi Allah.  

“Ibadat Puasa adalah ia rahsia antara hamba dan Tuhannya sahaja.  Mengapa ia dianggap rahsia?  Kerana puasa itu tidak kelihatan kepada sesiapa pun, berbeza dengan ibadat-ibadat lain, seperti sembahyang, kita boleh nampak siapa yang sembahyang.  Haji, juga boleh nampak dan dapat diketahui siapa yang melakukannya.  Zakat, juga begitu, boleh diketahui dan nampak interaksi antara pengeluar dan penerima zakat.  Tetapi puasa, tidak siapapun yang boleh tahu, seseorang itu puasakah dia ataupun tidak, hanya Allah sahaja yang tahu  mengenainya.  Kerana itulah pahalanya adalah tersendiri, dinilai dan ditentukan oleh Allah sahaja,” tegas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa Ramadhan, dinamakan ia sebagai bulan sabar dan barangsiapa menghidupkan Ramadhan dengan sabar, ganjarannya adalah Syurga.

“Bagaimana menghidupkan Ramadhan dengan sabar itu?  Paling atas sekali ialah melaksanakan ibadat puasa.  Berjuang mematahkan pengaruh perut dan pengaruh hawa nafsu.  Ini menurut Nabi adalah perjuangan paling besar, mengalahkan perjuangan di medan perang.  Kita puasa, bererti kita berjuang melawan hawa nafsu.  Melawan pengaruh perut dan pengaruh syahwat.  Perjuangan ini berlangsung selama sebulan lamanya.  Kukuhkan benting sabar itu supaya kita berjaya.  Tolak segala pengaruh untuk meruntuhkannya,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menyeru kita untuk merebut kesempatan beramal di dalam bulan Ramadhan ini, diantara amal besar yang perlu dan elok dibuat itu menurutnya ialah bermunajat kepada Allah dalam bentuk doa kerana doa orang yang berpuasa  adalah tajam, dijamin tidak akan ditolak dan mampu menembusi pintu-pintu langit untuk diterima oleh Allah.

“Sekarang, dunia sedang gelisah, kita sedang gelisah kerana serangan coronavirus belum berakhir, maka mari, kita ambillah peluang keemasan ini, peluang doa tajam, peluang pintu-pintu langit terbuka luas, ayuh!  Mari kita masuki, kita datangi Allah dengan doa-doa merendah diri,” tegasnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa Ibadat Puasa dan al-Qur’an selaku zikir dan doa adalah dua unsur yang hidup, bukan beku atau mati.  Pada hari kiamat kelak, jelasnya puasa dan al-Qur’an ini akan menghadap Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk meminta kebenaran bagi keduanya dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa yang berpuasa dan membaca al-Qur’an.

“Puasa dan al-Qur’an berkata-kata pada hari Kiamat.  Kedua-duanya akan menghadap Allah Ta’ala untuk meminta, supaya diberi kebenaran bagi menolong orang-orang yang berpuasa dan yang membaca al-Qur’an.  Pertolongan di sini, bukan pertolongan calang-calang, tetapi pertolongan amat besar pada hari yang tidak dapat digambarkan betapa dahsyatnya, betapa huruharanya dan betapa ia amat-amat mengerikan, iaitu hari Kiamat.  Nah! Pada ketika inilah, puasa akan tampil, al-Qur’an akan tampil untuk memberikan pertolongan,” tegasnya.

Semua ini, jelasnya menjadi motivasi kepada kita orang-orang Islam, supaya jangan sekali-kali terlepas ibadat Puasa dan jangan sekali-kali terlepas dari membaca al-Qur’an, kalau benar, kita ini berhajat kepada pertolongan keduanya, pada hari yang amat-amat sukar dan amat-amat mengerikan itu;  iaitu  hari Kiamat.

“Marilah kita sama-sama berazam dan berdoa, semoga kita dapat melaksanakan ibadat Puasa dan membaca al-Qur’an terus menerus, khasnya di sepanjang Ramadhan ini,” tegasnya mengakhiri ceramah.


Attachments