Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
14 Mei 2021 - Khutbah Khas Aidilfitri 1442/2021

MENGHADAPI WABAK:  Vaksin Ketuhanan, Menagih Ihsan dan Rahmat Allah adalah Mustahak.

(Oleh: Awang Osman bin A. Bakar)

 

IMG_7611_1 (295x200).jpg


Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan berkata adalah tidak salah untuk kita berubat sebagai ikhtiar, tetapi kita orang-orang Islam berubat, adalah berubat dengan cara orang berakidah dan sebab itulah kita tekankan, ubat hendaklah suci dan pastikan ia (ubat itu) tidak memudaratkan.

 

Di samping itu, katanya secara tersendiri, kita orang-orang Islam juga adalah didorong, dimotivasi untuk berubat dengan ubat ketuhanan, dengan vaksin ketuhanan, perubatan langit, perubatan atau rawatan yang juga turut benar-benar dituntut bagi orang-orang yang beriman menjalaninya.

 

Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara tersebut di dalam khutbah khasnya yang  pertama sempena Hari Raya 'Idul Fitri yang disampaikan di Mimbar Masjid Omar 'Ali Saifuddien pada 1 Syawal, 1442 Hijriah bersamaan 14 Mei, 2021.

 

"Alhamdulillah, kita orang-orang Brunei telah memakai kaedah ini. Kalau orang lain kurang peka, kurang sensitif untuk berqunut nazilah, tetapi Brunei Darussalam berqunut. Tidak dapat berqunut di masjid pada hari Juma'at, Raja kita meminta kita untuk berqunut di dalam sembahyang-sembahyang fardhu lima waktu," tegasnya.

 

Bukan itu sahaja, jelasnya raja kita juga menggalakkan bahkan mengulukan untuk berzikir dan berdoa menolak bala, khasnya bala Covid-19, sehingga baginda sendiri terpanggil turut melafazkan sama doa tersebut di dalam titah perutusan baginda, dengan rakyat jelata pula terus membacanya di tempat-tempat ibadat, di rumah-rumah kediaman, di majlis-majlis dan termasuk melalui siaran-siaran radio dan televisyen.

 

Bahkan raja kita juga, jelasnya lagi telah menyarankan supaya Surah Yaasiin dibaca, sehingga dengan seranan itu, bacaan surah ini, sampai kehari ini telah menjadi bahan siaran tetap radio dan televisyen kita. Kita yakin, keadaan ini boleh saja akan berkekalan, selama mana Covid-19 masih menghantui dunia.

 

Menurut Yang Berhormat Pehin, Abad 21 adalah abad paling menggugat kerana  di dalamnya berlaku serangan luar biasa daripada tentera Allah yang bernama Coronavirus-19. Hingga setakat khutbah ini disediakan, mangsa serangan yang positif di seluruh jagat sudah mencecah angka 161,069,132 orang. Sementara yang telah pun menjadi korban berjumlah 3,344,521 jiwa.

 

Tegasnya, tentera wabak adalah di antara tentera-tentera Allah yang sangat gagah dan jika ia menyerang, boleh membawa korban yang sangat besar.

 

Menamakan "musibah wabak" sebagai tentera Allah, jelas Yang Berhormat Pehin bukanlah ia satu istilah yang senghaja direka-reka, tetapi adalah satu hakikat yang benar yang telah pun diungkap sendiri oleh Allah, di dalam al-Qur'an surah al-Taghabun ayat 11, tafsirnya: "Tiadalah satu bencana yang menimpa (umpama wabak misalnya), melainkan (ia berlaku) dengan kehendak Allah jua."

 

"Apakah tidak layak bagi kita untuk tunduk merendah diri kepada Allah, memohonkan belas kasihan dan keampunanNya, kerana manalah tahu, bahawa wabak yang sedang berlaku ini memang betul-betul ia berpunca daripada dosa-dosa kita manusia, dosa-dosa dunia kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala? Lalu lantaran itu, doa adalah mustahak. Menagih ihsan dan rahmat Allah adalah mustahak, bukan memakai pendekatan bongkak untuk melawan dan memerangi wabak. Kerana andainya virus yang membentuk wabak ini betul-betul ia tentera Allah Ta'ala, maka tiada siapa pun yang mampu untuk mengalahkannya," tegas Yang Berhormat Pehin.

 

Kalau kiranya wabak ini berakhir, tegasnya lagi maka itu juga bukanlah hasil dari perlawanan atau peperangan kita terhadapnya, bukan! Tetapi ia adalah semata-mata ihsan daripada Allah jua, dari kuasa dan kehendakNya menarik balik wabak tersebut.

 

"Demikian juga, siapa yang sembuh daripada jangkitan covid yang ada dalam data dunia sekarang iaitu berjumlah seramai 138,860,686, ini juga adalah ia kerja Allah yang menyembuhkan mereka itu," jelasnya.

 

 

Raja Pelopor Penggunaan Vaksin Ketuhanan

(Oleh: Awang Osman bin A. Bakar)

 

Dalam Khutbah Khas Kedua sempena Hari Raya 'Idul Fitri 1442 Hijriah ini, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan menegaskan bahawa di saat-saat kita menyambut Hari Raya yang penuh berkat ini, adalah mustahak dan wajar untuk kita sama-sama melafazkan rasa syukur kerana ditakdirkan dapat bernaung di bawah payung Raja, pelopor penggunaan vaksin ketuhanan bagi Brunei.

 

Dengan kepimpinan Baginda itu, tegasnya dapatlah kita sama-sama menyemarakkan sedekah, doa, zikir dan al-Qur'an di negara tercinta ini, tanpa mengabaikan juga SOP biasa, sehingga alhamdulillah, bertolak dari 6 Mei 2020, yang kemudian menurut laman web WHO, setakat Mac 2021, Negara Brunei Darussalam telah direkodkan sebagai satu-satunya negara ASEAN yang tidak mencatatkan kes penularan tempatan lebih dari tempoh 10 bulan, dan kini, rekod bersih itu, telah pun melimpasi masa lebih dari setahun.

 

Menurutnya cara Brunei menangani musibah Covid ialah membuka tangannya luas-luas menghulurkan sedekah iaitu membelanjakan harta pada jalan Allah dengan maksud memberi hutang kepada Allah.

 

Merujuk firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di dalam surah al-Baqarah ayat 245, menurut Yang Berhormat Pehin kita yang bersedekah adalah bererti kita menghutangi Allah, Allah berhutang kepada kita.

 

Adapun hukum hutang itu, jelasnya adalah ia wajib dibayar dan kita yang menghutangi Allah adalah berhak untuk menerima balik bayaran daripadaNya (daripada Allah) iaitu berupa mata benda dan pahala disamping sedekah itu sebagai penyelamat, penolak bala, penghapus bala, malah penyembuh penyakit.

 

"Raja kita dan kerajaan Baginda serta rakyat adalah sama-sama konsisten menyemarakkan negara ini dengan sedekah, dengan doa, dengan zikir dan dengan al-Qur'an, iaitu selaku VAKSIN ketuhanan, di samping, kita juga sama-sama turut mematuhi protokol WHO, protokol antarabangsa dalam memperisai diri dari jangkitan wabak coronavirus," jelas Yang Berhormat Pehin.

 


Attachments