Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
10 Julai 2021 - Ucapan YB Pehin Mufti di Majlis Forum Irsyad: Kesempurnaan Ibadat Korban


Ucapan Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan selaku Tetamu Kehormat Forum Irsyad: "Kesempurnaan Ibadat Korban" Sempena 'Idul Adha Tahun 1442H / 2020M pada Hari Sabtu, 29 zulkaedah, 1442 / 20 Julai, 2021 di Ruang Legar, Bangunan DarulIfta Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

20210710-Forum-004 (295x200).jpg

 

Semua kita sudah amat mesra dengan ibadat Korban yang dilakukan setahun sekali di dalam bulan Dzulhijjah.  Namun masih saja, terus dipersoalkan tentang cara-cara pelaksanaannya.  Ada yang melihat cara-cara itu masih memerlukan pembaikan atau penyempurnaan lebih-lebih lagi kesahihannya dari segi hukum.

Masyarakat memerlukan panduan mengenai pembahagian daging-daging korban.  Maka untuk itu, korban adalah terbahagi dua:  1. Korban sunat, dan 2. Korban wajib.  Dua-dua jenis korban ini terdapat sedikit perbezaan cara pembahagian dan hukum makan daging keduanya.

Hukum asal korban itu ialah sunat muakkadah ertinya sunat yang sangat dituntut.  Bilakah ia menjadi wajib?  Apabila ia dinazarkan.  Misalnya seseorang berkata:  "Demi Allah, adalah wajib ke atas saya untuk menyembelih kambing ini atau lembu ini sebagai korban."

Atau dia berkata:  "Saya sediakan kambing ini untuk korban."

Atau setakat berkata:  "Ini (merujuk kepada kambing atau lembu) adalah korban."

Semua lafaz-lafaz ini adalah dianggap nazar menjadikan korban di sini hukumnya wajib.

Berbangkit ini, satu perkara yang sangat penting untuk diingat ialah, orang yang berkorban tidak boleh, yakni haram baginya memakan daging korban itu walaupun sedikit.  Kalau sekiranya sudah termakan, maka wajib diganti kadar yang dimakannya itu, tetapi tidaklah wajib dia menyembelih binatang lain sebagai ganti.

Korban binatang adalah korban khusus, hanya dilakukan pada masa tertentu.  Sementara adapun korban umum yang lebih terarah sebagai korban untuk Islam.  Pengorbanan ini tidak bermusim, tetapi berlaku sepanjang masa, malah sepanjang hayat.

Apa contoh korban untuk Islam itu?  Mencakup semuanya:  Meliputi niat kita, amal ibadat dan semua kerja-kerja yang dilakukan untuk Islam, kerana Islam.

Kita sembahyang, mengapa sembahyang?  Kerana kita orang Islam, dituntut sembahyang.  Lalu kitapun sembahyang.  Nah, perbuatan kita sembahyang inilah namanya pengorbanan.  Kita sembahyang Subuh, bererti di sini kita mengorbankan sedikit masa untuk sembahyang Subuh.  Kita berkorban membatalkan tidur buat seketika demi menyahut panggilan Islam untuk sembahyang.  Tidakkah ini namanya kita berkorban atas nama Islam?

Contoh lain, kita orang Islam makan dengan memilih makanan yang halal.  Ini juga pengorbanan.  Kerana kerja memilih makanan halal itu mungkin sahaja agak susah, tetapi sedarkah kita, kerja memilih itulah pengorbanan.  Lagi orang bercerewit, tidak hanya selarah-larah makan, lagi insya Allah, ganjarannya besar.

Sayyidina Abu Bakar asy-Syiddiq Radhiallahu anh, apabila beliau itu menyedari termakan makanan syubhah, lalu beliau menyeluk kerongkongnya sehingga tidak menghiraukan bahaya dari perbuatannya itu, asal sahaja makanan syubhah itu dapat dimuntahkan semula.  Begitu orang berkorban demi memelihara keluhuran hukum Islam.

Contoh lebih umum, berkorban melakukan ihsan, ini lebih sukar untuk dibuat.  Orang menyakiti kita, biasanya kita mahu membalas dengan menyakiti orang itu juga.  Tetapi Allah berfirman: (Tafsirnya)  "Balaslah kejahatan yang dilakukan kepadamu (wahai Muhammad) dengan cara sebaik-baiknya." (Surah al-Mukminun: 96).

Siapa yang melakukan seperti yang diarahkan oleh Allah ini, adalah orang itu sebenar-benar ahli korban (orang yang berkorban/melakukan pengorbanan besar.  Berkorban tidak mementingkan diri, sanggup menanggung rugi, untuk diri sendiri, sebaliknya memberi ihsan kepada orang lain).

Ibnu Mas'ud Radhiallahu anh kehilangan barang, ternyata barangnya itu dicuri oleh orang. Sahabat-sahabat bersimpati kepada Ibnu Mas'ud, lalu merekapun berdoa, mendoakan si pencuri supaya dibalas oleh Allah dengan kesusahan/kebinasaan.

Tetapi Ibnu Mas'ud melarang – jangan! Jangan doakan dia begitu.  Tetapi Ibnu Mas'ud berdoa begini:  "Ya Allah, sekiranya si pencuri itu mencuri kerana benar-benar dia memerlukannya, maka Kau ampunkanlah dia.  Sekiranya dia mencuri bukan kerana keperluan, maka mohon supaya hanya sekali ini sahaja dia mencuri."

Begitu cantik pengorbanan melalui ihsan.  Tetapi berapa banyak pengorbanan seperti ini berlaku dalam kalangan manusia?  Rasa-rasanya tidak banyak, kerana itulah Allah sampai merakam peringatan ini di dalam kitabNya.



Attachments