Oleh: Osman Abu Bakar


Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan berkata Perpaduan adalah asas kepada hidup berkeluarga, bermasyarakat, berjiran dan seterusnya bernegara. Tanpa perpaduan, hidup berkeluarga, hidup berjiran, hidup bermasyarakat mahupun hidup bernegara akan pincang.
Hakikat atau realiti ini, tegas Yang Berhormat Pehin sudah difahami oleh semua orang tidak kira sama ada oleh umat lslam mahupun bukan lslam.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan atas talian (dalam Bahasa Arab) di Darulifta Brunei Darussalam bagi Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam Kali ke 35 tahun 2021 mengenai “Perpaduan Islam, Keamanan dan Mengelakkan Perpecahan Serta Pertikaian Dalam Dunia Islam” (Islamic Unity, Peace and Avoidance of Division and Conflict in The Islamic World) yang diadakan dalam bentuk webinar dan melalui ruang siber yang berpusat di Republik Islam Iran pada 22 Oktober, 2021.
Menurut Yang Berhormat Pehin, sejarah lslam membuktikan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyatukan atau mempersaudarakan Kabilah Aus dan Khazraj. Ini kerana tugas dan tanggungjawab yang Baginda bawa tidak mungkin dapat direalisasikan melainkan dengan wujudnya ikatan yang kuat antara sesama umat lslam.
“Kita mengharapkan perpaduan yang positif bersifat membina akan wujud, bukannya perpaduan yang bersifat meruntuh. Apabila perpaduan yang bersifat membina wujud, maka adalah menjadi kewajipan kita untuk sama-sama memelihara dan mempertahankan-nya,” tegasnya.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan bahawa di bumi Brunei Darussalam, kita dapat menikmati keharmonian hidup dan perpaduan bermasyarakat dan bernegara, sekalipun terdapat perbezaan agama, budaya dan latar belakang sosial.
“Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, institusi beraja telah berjaya membawa Brunei menikmati, perpaduan, keamanan dan kemakmuran.
“Dengan berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, institusi beraja yang diwarisi lebih dari enam abad itu telah berjaya melakar kemajuan selaras dengan perkembangan zaman,” jelas Yang Berhormat Pehin.
Persidangan Antarabangsa Perpaduan Islam ke-35 diadakan dalam bentuk webinar dari 19 hingga 24 Oktober, 2021 di Republik Islam Iran.
Memetik kenyataan dari laman web persidangan tersebut, tujuan Persidangan Perpaduan Islam Antarabangsa ini adalah untuk mewujudkan perpaduan dan kesetiakawanan di kalangan umat Islam, mengembangkan ijma’ di kalangan para ulama dan saintis demi penyelarasan ilmiah dan budaya mereka, mengemukakan penyelesaian praktikal untuk mencapai Perpaduan Islam dan Ummah Islam Yang Bersatu di Dunia Islam dan menyelesaikan masalah umat Islam serta memberikan penyelesaian untuk mereka.
Menurut laman web itu juga, peserta persidangan dipilih daripada kalangan elit dan tokoh terpelajar, menteri-menteri negara Islam, para ulama dan para mufti, professor-professor universiti dan masyarakat akademik dan budaya lainnya, di dalam dan luar negara. Ratusan cendekiawan, ulama dan para pemikir Islam dari pelbagai negara seperti Perancis, Syria, Lebanon, Australia, Mesir, Malaysia, Sudan, Pakistan, India, Azerbaijan, UK, Jordan, Iraq, Indonesia, Gambia, Palestin, Afghanistan, Senegal, Libya, Bahrain, Algeria, Yemen, Yunani, Turki, Uganda, Kuwait, Qatar, Belanda, Emiriah Arab Bersatu dan lain-lain juga turut mengambil bahagian dalam persidangan ini.
Penyertaan Yang Berhormat Pehin dalam persidangan ini adalah atas undangan Tuan Yang Terutama Dr. Hamid Shahriari, Setiausaha Agong World Forum For Proximity of Islamic Schools of Thought.