Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
21 November 2021 - Ceramah Bersama Mufti bertajuk “Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat”

​Oleh: Osman Abu Bakar


Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat

Bersempena dengan menyambut Maulidur Rasul, Sayyidina Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, memang wajar untuk kita merista-rista atau memperkatakan siapa Baginda, iaitu sebagai cara untuk meraih keberkatan, kerana banyak perkara yang perlu diketahui dalam kehidupan Baginda, yang semua itu merupakan "suluh" bagi umat sebagaimana   firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah al-Ahzab ayat 21, yang tafsirnya:   "Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu adalah contoh yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (redha) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, dan dia pula (memang) banyak menyebut/mengingat Allah (dalam masa susah dan senangnya)."

Mengingat dan menyebut Allah adalah perkara agung lagi asasi.  Maka begitulah pula dengan mengingat-ingat dan menyebut Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, adalah sama penting dan asasinya dengan mengingat dan menyebut Allah sendiri.  Kerana dalam kehidupan kita, dua-dua ini tidak boleh berpisah.  Ia sudahpun sedia terjalin rapat sebagai Kalimah Thaibah yang wajib kita sebut pada setiap hari dalam sembahyang iaitu Dua Kalimah Syahadat.

Begitu tersendiri atau istimewanya Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam itu.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan ceramah Bersama Mufti bertajuk "Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat" yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei pada Ahad 21 November, 2021.

Dalam masa umat Islam sekarang serba kekurangan, termasuk dianggap lemah, maka menurut Yang Berhormat Pehin adalah penting untuk kita membuka lembaran kisah Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam, khusus yang berlaku ketika awal kenabian. Pada masa itu Islam masih sahaja asing dan penganutnya juga baru segelintir yang menjadikan umat Islam dengan sendirinya memang lemah.

Tetapi siapa dia Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam dalam keadaan seperti ini?  Kalau Baginda itu orang biasa, tentu sahaja boleh digambarkan, beliau tidak akan ke mana-mana, dalam makna, tidak akan berbuat apa-apa, kerana takut untuk berhadapan menghadapi golongan penentang yang sangat besar lagi kuat.

Tetapi Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, tidak demikian itu, malah baginda tetap menjalankan kewajipan, mengajak manusia untuk menyembah Allah. 

Sembilan tahun lamanya setelah menerima tugas kenabian, Baginda jelas Yang Berhormat Pehin terus tabah dan tidak sekali-kali undur dari melaksanakan dakwah, walaupun cuma dibantu oleh sekumpulan kecil pengikut baginda.

Disamping mendapat dukongan padu daripada penganut-penganut Islam yang berjumlah sangat sedikit itu, Baginda juga bernasib baik mendapat simpati daripada bapa saudara Baginda, Abu Thalib.  Walaupun tidak memeluk Islam, Abu Thalib tetap mempertahankan Nabi.  Dan kebetulan juga beliau ini seorang yang sangat berpengaruh lagi disegani oleh penduduk Mekah pada masa itu, makanya menjadikan simpati beliau terhadap Nabi itu banyak membawa kebaikkan kepada Nabi, diantaranya menyebabkan pembesar-pembesar Quraish yang menentang Nabi, kurang berani untuk mencederakan Nabi.

Apabila Abu Thalib meninggal dunia, maka keadaan pun dengan serta merta berubah.  Peluang bagi kaum Musyrikin untuk merealisasikan penentangan mereka terhadap Nabi kini terbuka luas, kerana tiada siapa lagi yang disegani untuk membela Nabi.  Pengikut-pengikut Baginda yang berjumlah masih amat kecil juga seperti tiada makna apa-apa, kerana mereka ini juga dengan sewenang-wenang sahaja dianiaya, malah disiksa secara terbuka.

Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam mengambil sikap untuk cuba mendapatkan pengikut di luar Mekah.  Baginda melihat, Thaif yang jaraknya 87km. dari Mekah adalah satu tempat yang penting untuk didatangi bagi menyampaikan dakwah.  Di sini terdapat kabilah bernama Tsaqif yang bilangan anggotanya dilihat ramai.  Sekiranya kabilah ini menerima Islam, sudah tentu akan besar sumbangannya kepada Islam.  Berkemungkinan Thaif yang akan menjadi pusat penyebaran Islam.

Setelah sampai di Thaif, Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam pun menemui pembesar-pembesar Thaif, Baginda mengajak mereka kepada agama Islam sambil menarik perhatian supaya dapat membantu Baginda menyebarkan agama ini di kalangan penduduk Thaif.  Tetapi malang, tidak ada respon positif daripada pembesar-pembesar kabilah tersebut.  Mereka bukan sahaja menolak ajakan Nabi, malah menjawab Baginda dengan kata-kata kesat dan kasar.

Setelah Nabi gagal menyakinkan pembesar-pembesar kabilah ini, Baginda beralih pula kepada orang awam.  Namun keadaan adalah sama sahaja.  Tidak ada seorang pun yang mahu menerima ajakan Nabi.  Bukan sahaja tidak menerima, bahkan menghalau Baginda dengan berkata:  "Keluarlah kamu segera dari bandar kami ini!"

Sedang Baginda berundur untuk pulang semula ke Mekah, penduduk Thaif menghantar kanak-kanak untuk mengejar, mengejek, mempersenda dan melontari Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam dengan batu, sehingga kedua-dua kasut Baginda berlumuran darah oleh kerana luka-luka yang dialami.  Namun Baginda tetap tenang dan sabar.

Apabila Baginda sudah selamat, terlepas daripada pengacau-pengacau tersebut, maka Baginda pun berdoa, (maksudnya):  "Ya Allah, hanya kepadaMu jua aku mengadukan kelemahanku, kekurangan daya upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia.  Ya Arhamar Rahimin.  Engkaulah Tuhan bagi orang-orang yang lemah.  Engkau jualah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau akan menyerahkan diriku ini, (adakah) kepada orang asing yang akan menyerangku atau kepada musuh yang menguasaiku? (Apapun jua ketentuanMu) aku tidak peduli, (asal saja) Engkau tidak murka kepadaku.  Namun 'afiah dan redhaMu jua adalah memadai bagiku.  Aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang menerangi segala kegelapan dan atas cahaya itu juga telah tersusun segala urusan dunia dan Akhirat.  KepadaMu jua ya Allah, aku tetap merayu sehingga Engkau redha kepadaku.  Tiada daya upaya (untuk aku melakukan sebarang kebaikkan) dan begitu juga tiada daya upaya (untuk aku meninggalkan sebarang kejahatan) melainkan dengan petunjukMu jua."

Sebaik berlepasnya doa ini kepada Allah, maka Malaikat Jibril Alaihissalam pun turun membawa berita, katanya: "Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mendengar perbualan tuan dengan kaum ini, wahai Muhammad! (Dan ketahuilah), Allah juga telah menghantar Malaikat yang bertanggung-jawab ke atas gunung ganang untuk melakukan apa saja yang tuan mahu."

Kemudian Malaikat yang berkenaan itupun muncul dengan memberi salam dan berkata:  "Wahai Muhammad, saya akan tunaikan segala apa jua perintah tuan kepada saya, sama ada untuk melagakan bukit-bukit, supaya kaum yang kini berada diantara keduanya akan hancur punah semuanya."

Tetapi Baginda Shallallahu 'Alaihi Wasallam menolak tawaran itu dengan bersabda:  "Tidak!  Aku tetap menaruh harapan kepada Allah bahawa, walaupun mereka ini enggan, tidak mahu menganut Islam, namun pastinya akan lahir juga orang-orang yang menyembah Allah dari kalangan anak cucu mereka kelak."

Inilah akhlak mulia Nabi kita.  Walaupun peluang sudah terbuka untuk membalas kejahatan kaum yang telah menyakiti dan menghinakan Baginda, namun Baginda jelas Yang Berhormat Pehin tidak mahu melakukannya dan menolak tawaran Malaikat untuk menghukum kaum ini dengan kebinasaan. 

Sebaliknya, jelasnya lagi Baginda sanggup bersabar menantikan anak cucu kaum tersebut akan menganut Islam juga di suatu masa kelak. 

"Inilah harapan suci seorang Nabi.  Di hatinya semata-mata niat bersih tanpa sebarang dendam, sekalipun sudah pernah dihina dan disakiti.  Berbeza dengan orang biasa, walau hanya sedikit pernah disakiti atau dikasari, api kemarahan spontan marak dan berazam untuk membalas dendam.  Selama belum dapat membalas, maka selama itulah dendam tidak akan padam-padam," jelasnya.

Atau paling malang lagi, katanya ada juga berlaku apa yang tidak patut berlaku, iaitu orang yang berdendam akan sentiasa mencari-cari atau malah mencipta-cipta alasan supaya orang yang didendam mendapat musibah, seperti musibah fitnah atau musibah dizalami dan seumpamanya, sebagai cara untuk memuaskan hati. 

Di dunia, orang macam ini, katanya mungkin sahaja boleh ketawa semahunya, tetapi di Akhirat tidak!  Kerana dosa menyebar fitnah atau dosa melakukan kezaliman adalah dosa yang sangat-sangat berat di sisi Allah.

Selain Nabi sendiri amat penyabar dan bersikap tidak pernah mendendam sesiapa walaupun terhadap orang yang paling jahat terhadap Baginda iaitu orang Yahudi yang beberapa kali pernah mencuba untuk membunuh Baginda, maka demikian itulah juga, katanya sifat dan sikap ini turut sama dimiliki oleh para sahabat Baginda. 

Menyentuh mengenai tema Sambutan Maulud Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam pada tahun ini iaitu "Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat", Untuk melihat kasih terhadap Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, Yang Berhormat Pehin menegaskan kita mesti bercontoh kepada para sahabat, kerana merekalah yang sebenar-benar pencinta terhadap Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam.

Adapun kita yang hidup selepas Baginda dan selepas para sahabat, jelasnya tidak memahami dan tidak tahu apa-apa bagaimana cara mencintai Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam itu. Jadi mahu tidak mahu, tegasnya kita mestilah belajar dari sejarah para sahabat bagaimana mereka itu mencintai Nabi, apa yang sudah mereka itu buat atau fikir atau rasa atau rancang untuk membuktikan cinta mereka terhadap Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam.

Qadhi 'Iyadh Rahimahullah, kata Yang Berhormat Pehin telah berkata:  Sesiapa yang mengasihi sesuatu, dia mestilah mengutamakan kekasihnya itu, lebih dari yang lain-lain.  Inilah makna cinta sebenar.  Jika tidak, bukanlah itu cinta, melainkan ia hanyalah pengakuan semata-mata.  Oleh itu, tambah beliau, tanda paling penting mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ialah mengikuti jejak langkah Baginda, mencontohi cara hidup dan tutur kata Baginda, mematuhi perintah-perintah Baginda, menjauhi larangan-larangan Baginda dan berjalan atas landasan yang dijalani oleh Baginda, sama ada ketika senang mahupun ketika susah, ketika sempit atau lapang.  Bahkan dalam semua keadaan, berdasarkan firman Allah Ta'ala di dalam surah A-li 'Imraan ayat 31, tafsirnya: "Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu.  (Dan ingatlah) bahawa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Pengasihan."

"Ini dasar.  Kalau ini ada, barulah cinta terhadap Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam itu benar-benar berlaku.  Dan untuk itu, kita perlu mengenali para sahabat, menyingkap sejarah mereka, kerana merekalah yang benar-benar mengalami dan bergaul dengan Baginda, dan dari pergaulan itulah kita dapat mengetahui sejauh mana dukongan dan kecintaan mereka itu terhadap Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam," tegasnya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, Allah telah menyediakan beberapa wadah untuk kita lalui sehingga kita boleh sampai ke sasaran mencintai Nabi itu iaitu terdapat pada ayat-ayat al-Qur'an, seperti ayat 69 surah an-Nisaa, yang tafsirnya:  "Barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul."

Merujuk ayat tersebut, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, bahawa berlakunya perkara mentaati Allah dan Rasul itu berpunca dari dorongan rasa cinta, tidak akan lahir ketaatan tanpa adanya cinta.  Cintalah, menurutnya pencetus ketaatan bagi seorang hamba terhadap Khaliq dan RasulNya.

Taat di sini, tegasnya bererti mengikut semua suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah dan Rasul, dan apabila ada ini, itulah bukti cinta telah dikota.

Satu lagi wadah dari al-Qur'an, jelas Yang Berhormat Pehin ialah ayat 56 surah al-Ahzab, yang tafsirnya: "Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya berselawat (memberi penghormatan) ke atas Nabi (Sayyidina Muhammad).  Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam hormat sepenuh-penuhnya."

"Ini juga wadah benar-benar menuju tepat kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam. Wadah ini malah digunakan oleh Allah sendiri dan para MalaikatNya dalam memberikan penghormatan khusus kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam.  Kemudian kita orang-orang beriman juga tidak ketinggalan sama-sama disuruh untuk menggunakan wadah ini iaitu berselawat ke atas Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam," jelas Yang Berhormat Pehin.

Menurut Yang Berhormat Pehin, adalah tidak diragukan lagi, selawat adalah bukti penghormatan dan cinta Allah kepada Nabi, bukti penghormatan dan cinta para Malaikat kepada Nabi, dan kita orang-orang beriman juga tidak terkecuali dituntut oleh Allah supaya membuktikan penghormatan dan cinta kita terhadap Baginda, juga dengan mengucapkan selawat ke atasnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa menurut hadits, kita berselawat bukan bertepuk sebelah tangan.  Tetapi manakala seseorang berselawat, maka Malaikat di langit pun berselawat ke atasnya.  Barangsiapa Malaikat berselawat ke atasnya, maka Allah pula berselawat ke atasnya, dan barangsiapa Allah berselawat ke atasnya, maka tiada sesuatu yang ada di langit dan bumi, melainkan semuanya itu adalah berselawat belaka ke atasnya.

'Begitu, Allah memuliakan orang yang menzahirkan cintanya ke atas Nabi melalui selawat.  Selawat daripada Allah ertinya rahmat dan daripada yang lain-lain adalah doa," tegas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa barangsiapa yang berselawat ke atas Nabi sekali sahaja, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali, bererti turun sepuluh rahmat Allah untuk orang itu.

Di dalam hadits yang lain, katanya Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, maksudnya:  "Barangsiapa berselawat ke atasku sekali nescaya Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali, barangsiapa berselawat ke atasku sepuluh kali, nescaya Allah berselawat ke atasnya seratus kali.  Barangsiapa berselawat ke atasku seratus kali, nescaya Allah berselawat ke atasnya seribu kali dan barangsiapa berselawat ke atasku seribu kali, nescaya tidak akan menyentuhnya api neraka."

Dalam perkara untuk menyampaikan hajat, Yang Berhormat Pehin menjelaskan Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, maksudnya:  "Barangsiapa berselawat ke atasku sehari seratus kali, ditunaikan oleh Allah hajatnya 100 hajat:  70 hajat di Akhirat dan 30 lagi hajat di dunia."


Attachments