Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
15 Disember 2021 - Majlis Pelancaran Buku-Buku Terbitan Terbaharu UNISSA 2021

​Oleh: Osman Abu Bakar







Buku Untuk Dibaca, Bukan Untuk Di Kumpul, Disimpan

Buku adalah ia ditulis atau dikarang, kemudian diterbitkan. Tetapi tidak terhenti setakat di sini saja, malah setelah diterbitkan, buku juga untuk dibaca. Inilah persoalan buku.

Buku itu adalah ibarat sebuah gedung, dengan kepelbagaian isi di dalamnya.  Barang siapa yang mahu tahu isi gedung itu, kenalah mula-mula sekali, dia membuka pintunya, dan kemudian masuki ia, maka dapatlah tahu khazanah di dalamnya.

Ini seharusnya kita dengan buku. Ertinya di sini, buku bukanlah untuk di kumpul dan disimpan sebagai perhiasan, tetapi untuk dibaca.  Baru ada makna kita berbuku.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika berucap selaku tetamu kehormat di Majlis Pelancaran Buku-Buku Terbitan Terbaharu UNISSA 2021 di Dewan Auditorium, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada 15 Disember, 2021.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan bahawa buku juga adalah guru, untuk kita mendapat pendidikan atau pengajaran, tetapi   hanya ia bukanlah guru yang hadir dalam kelas namun, peranan keguruan tetap dimiliki oleh kedua-dua guru ini:  buku dan cikgu.

Maka hasil manfaat keguruan seperti inilah, jelasnya lagi sejarah telah merakam:  Lahirnya ramai tokoh-tokoh besar di dunia yang sangat ternama, dan   dalam sejarah Islam pula, terdapat nama-nama besar penggemar buku, seperti al-Jahiz, Ibn Sina dan ramai lagi.

Tidak syak lagi, katanya buku adalah membuat jendela dunia terbuka, kerana itu ramai tokoh-tokoh besar lahir kerana minat mereka yang tinggi membaca buku.

Ini menunjukkan, katanya membaca itu adalah kuasa raksasa untuk menjadikan manusia: brilliant atau bergeliga.

"Inilah makanya, petunjuk Allah melalui ayat pertama yang turun kepada Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam adalah perintah membaca (ٱقرأ - bacalah!).  Kerana itu walau secara zahir Baginda itu Ummi (tidak boleh membaca), tetapi jangan lupa, Malaikat Jibril 'Alaihissalam sering-sering turun membawa wahyu dan mengajarkan kepada Baginda membaca ayat-ayat yang turun itu. Di samping itu, Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam juga adalah seorang yang memang sangat mengambil perhatian berat kemampuan membaca.  Buktinya,  dalam satu peperangan, tentera Muslimin banyak menawan musuh.  Apabila tawanan ini minta dibebaskan,  maka Baginda bersetuju untuk membebaskan, tetapi dengan syarat, seorang tawanan dikehendaki mengajar membaca dan menulis anak-anak orang Islam," tegasnya.

Menurut Yang Berhormat Pehin, kalau kita mahu tahu 'kelebihan' membaca, boleh lihat masyarakat Jepun.  Selepas "pasca kalah perang" akibat diguguri oleh bom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun cepat-cepat bangkit menterjemahkan buku-buku asing ke dalam bahasa Jepun, sehingga tidak lama, mereka pun mampu menyaingi Amerika dan Eropah dalam industri automotif.

Kejayaan "budaya membaca" orang-orang Jepun ini, tegasnya bagus untuk ditiru, terutama oleh para mahasiswa kita.  Para mahasiswa perlu bergerak memperkaya daya kritis dan intelektualisme mereka.  Maka untuk itu, tegasnya kebiasaan hedonisme (mementingkan keseronokan sebagai tujuan hidup) sudah masanya untuk ditinggalkan dan diganti dengan tradisi membaca.

"Kita melihat di kebelakangan ini, daya intelektualisme para mahasiswa agak meragukan.  Ramai rasa-rasanya yang melupakan tradisi intelektual seperti membaca, menulis dan berdiskusi, berbanding aktiviti mereka terfokus kepada kegiatan hedonisme (mementingkan keseronokan sebagai tujuan hidup).  Perpustakaan kampus sepi, berbanding tempat-tempat lain, yang menjadikan dengan sendirinya, budaya produktif seperti membaca adalah lemah.  Kita belum lagi melihat survey UNESCO tentang minat membaca masyarakat Brunei, di posisi berapakah kita ini berada di peringkat global dan ASEAN?  Rasa-rasanya, perkara ini sangat-sangat perlu untuk dibuat kajian," tegas Yang Berhormat Pehin.

Di sempena majlis pada hari ini, Yang Berhormat Pehin seikhlasnya mengucapkan syabas dan tahniah yang hangat kepada UNISSA kerana berjaya menerbitkan buku-buku terbaharunya 2021. 

Menurutnya Sebanyak 33 buah buku ungkayah setahun, boleh dianggap satu ungkayah yang besar dan secara peribadi Yang Berhormat Pehin turut mengaguminya. 

"Ini menunjukkan UNISSA ada vision keilmuan, ada usaha menjana budaya menulis dan membaca di kalangan warganya.  Syabas! Teruskan usaha ini.  Dan jika ini berterusan, UNISSA tidak diragukan lagi adalah gedung ilmu bagi Brunei.  Brunei bertuah mempunyai UNISSA," tegas Yang Berhormat Pehin.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Pehin selaku tetamu kehormat juga berkesudian menyampaikan penyampaian Anugerah Staf Cemerlang Universiti Islam Sultan Sharif Ali bagi Tahun 2020 dalam pelbagai kategori kepada seramai 23 orang staf yang telah dipilih daripada kalangan tenaga akademik, pegawai dan kakitangan UNISSA.

Pemilihan adalah berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan mengikut kategori penganugerahan serta mendapat sokongan yang kuat daripada ketua bahagian masing-masing yang menyatakan dengan jelas sumbangan dan impak positif dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Anugerah Kecemerlangan Staf UNISSA ini telah mula diadakan pada tahun 2016 hingga sekarang. Tujuan utama anugerah ini diwujudkan adalah bagi memberikan galakan dan semangat kepada tenaga akademik, pegawai dan kakitangan untuk lebih komited dan berdaya saing secara sihat dalam memantapkan dan meningkat lagi kualiti kerja dalam bidang masing-masing.

Turut Hadir di majlis tersebut Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Mat Dain@Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Haji Mazanan bin Haji Yusuf , Penolong Mufti (Buhuts), Yang Mulia Dr Awang Haji Dennie bin Haji Abdullah, Pemangku Penolong Mufti (Ifta), Yang Mulia Penolong-Penolong Rektor UNISSA, dan pegawai-pegawai utama Jabatan Mufti Kerajaan dan UNISSA.


Attachments