Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
17 April 2022 - Tazkirah Khas: Selawat Senegara, Selawat Tafrijiyyah

​Oleh: Osman Abu Bakar


Kita umat Islam Alhamdulillah adalah umat yang sangat bertuah. Tuah kita itu letaknya di al-Qur’an dan di as-Sunnah.  Kalau kita berpegang teguh kepada keduanya insya Allah, bahtera kehidupan kita tidak akan karam-karamnya, bahkan ia akan terus sahaja selamat.

Al-Qur’an dan as-Sunnah adalah penyelamat.  Kedua-duanya merupakan perlembagaan bersepadu, jika diikut dan dipatuhi akan membawa kepada keselamatan di dunia dan di Akhirat.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan ketika menyampai Tazkirah Khusus yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen pada 17 April, 2022 untuk mengalu-alukan rancangan “Selawat Senegara” .

Menurut Yang Berhormt Pehin ciri-ciri keselamatan itu antaranya ialah, kita berada dalam sihat afiat, dan jauh daripada sebarang bencana atau musibah. 

Kerana itulah, katanya  Allah dan Rasul-Nya sama-sama mengungkap untuk mengingatkan kita bahawa ayat-ayat dan hadits-hadits adalah penyembuh, pelepas dukacita, pencegah dan penolak bala sebagaimana Firman Allah Subhanahu wata’ala di dalam surah al-Israa ayat 82, yang tafsirnya:   “Kami turunkan dari al-Qur’an itu ayat-ayat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

Maksud penawar di sini, jelas yang Berhormat Pehin meliputi sebagai ubat, sebagai bahan perawat segala penyakit. Sementara maksud rahmat pula, meliputi sebagai kubu perlindungan dan sebagai penjamin keselamatan dan kesejahteraan.

Berfirman lagi Allah, katanya di dalam surah ar-Ra’d ayat 28,  yang tafsirnya:  “Orang-orang yang beriman dan hati-hati mereka itu menjadi tenang tenteram (sejahtera) dengan dzikirullah. Ketahuilah, dengan dzikirullah itu tenang tenteramlah hati-hati manusia.”

Ini semua, tegasnya adalah pemasyhuran, bahawa al-Qur’an itu memang ia khazanah untuk kita mendapatkan penawar dan rahmat. Begitu juga al-Hadits adalah ia sumber yang menyediakan segala keperluan untuk kita berubat dan melepaskan diri daripada kesusahan dan bala bencana.
  
Di antara sumber utama sebagai penyelamat dan penyampai hajat itu, tegasnya lagi ialah “selawat” ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. 

Sabda Baginda, menurut Yang Berhormat Pehin antaranya hadits riwayat al-Imam Ibnu Mandah daripada sahabat Jabir radhiallahu anhu, yang bermaksud: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku pada tiap-tiap hari 100 kali, nescaya Allah akan tunaikan untuknya 100 hajat, 70 daripadanya ialah hajat bagi perkara-perkara Akhiratnya dan 30 lagi adalah hajat bagi perkara-perkara dunianya.”

Tegasnya, inilah keramat Selawat, manakala kita beramal dengannya 100 kali sehari, Allah berjanji untuk membukakan 70 pintu hajat di Akhirat untuk orang yang berselawat itu dan 30 lagi pintu hajatnya di dunia.
  
Menurut Yang Berhormat Pehin, 70 hajat di Akhirat akan ditunaikan oleh Allah sangatlah banyak.  Kita, kalau dapat dipenuhi dua atau tiga hajat sahajapun sudah cukup hebat.  

Sementara hajat di dunia pula, katanya ada 30 telah dijanjikan oleh Allah dan inipun juga banyak. 

“Satu daripadanya kita pohonkan kepada Allah ialah untuk bebas/terlepas daripada bahaya Covid, untuk Covid berundur segera daripada negara kita, berkat kita bertawassul kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi Wasallam dengan membaca selawat at-Tafrijiyyah ke atas Baginda sebanyak 4,444 kali atau lebih, berdasarkan pendapat para ulama bahawa berselawat dengan bilangan ini, kita umat Islam akan mendapat syafaat, akan beroleh ketenangan jiwa, akan beroleh pahala, akan beroleh rezeki yang luas, akan beroleh pembelaan dan keampunan Allah, serta akan beroleh kelepasan daripada segala kesusahan dan musibah, pendeknya, akan terkabul segala hajat kita di dunia dan di Akhirat, insya Allah.

“Inilah makanya, kita pilih khusus selawat Tafrijiyyah ini untuk kita baca beramai-ramai di dalam rancangan selawat senegara nanti,” katanya.

Selain berselawat untuk disampaikan hajat, katanya lagi kita juga berselawat sebagai memenuhi tuntutan menghormati dan mencintai Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang memang sangat-sangat dituntut untuk menghormati dan mengasihi Baginda. 

Malah menghormati dan mengasihi Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam itu, jelasnya adalah syarat utama untuk mendapatkan syafaat Baginda. Jika tidak ada hormat dan tidak ada cinta kepada Nabi, tidak akan berlaku syafaat itu, malah boleh mengundang kepada hukuman Allah Subhanahu wata‘ala.

“Menghormati dan mengasihi Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bukan sahaja dituntut ke atas kita manusia, bahkan malah juga dituntut ke atas lain-lain makhluk, jin dan para Malaikat.

“Ini kedudukan selawat itu, dilakukan sebagai tanda hormat dan cinta kita kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Manakala ini kita buat, maka Allah akan membalas kita dengan ganjaran rahmat: Rahmat rezeki luas, rahmat sihat tubuh badan, rahmat riang gembira, rahmat selamat, rahmat terangkat segala bala atau musibah, khasnya musibah wabak coronavirus, Insya Allahu Ta’ala,” jelas yang Berhormat Pehin.

Dalam acara “Selawat Senegara” nanti, katanya kita telah memilih khusus selawat at-Tafrijiyyah untuk dibaca beramai-ramai, dengan mengambil kira pendapat para ulama bahawa dengan membaca selawat ini “hajat-hajat besar” kita insya Allah, akan disampaikan oleh Allah, seperti hajat untuk keluar dari dukacita, hajat untuk sembuh dari penyakit, hajat untuk menolak bala bencana, hajat untuk mengagalkan rancangan-rancangan jahat musuh, pendeknya untuk menyampaikan segala hajat. Matlamat bacaan, kita sasarkan kepada 4,444 kali, iaitu bilangan yang sudah dicuba mujarab oleh orang-orang yang terdahulu.

JelasYang Berhormat Pehin, lima buah masjid utama seluruh negara akan serentak mengumandangkan selawat ini, dengan Masjid Omar Ali Saifuddien menjadi tumpuan, akan disiarkan secara langsung oleh RTB. 

Selawat akan dibaca oleh tiap-tiap masjid sebanyak sebelas (11) kali sahaja, dengan kapasiti pembaca tiap-tiap masjid 500 orang ke atas.  Dalam makna, jika sebuah masjid sahaja membaca sebelas (11) kali selawat oleh 500 orang, maka bererti jumlah yang akan didapat bagi sebuah masjid ialah 5,550 kali selawat, telahpun melimpasi angka yang kita kehendaki iaitu 4,444 kali.  Manakala jika lima buah masjid sama-sama serentak berselawat 11 kali oleh 500 orang bagi tiap-tiap masjid, maka jumlah keseluruhan selawat yang dibaca itu akan mencecah sebanyak 27,500 kali.

“Subhanallah, tidak syak lagi, negara pada masa itu adalah cukup-cukup meriah dengan selawat. Sukar untuk dibayangkan, betapa lebatnya hujan rahmat yang akan turun ke atas Brunei, betapa dengan sendirinya para Malaikat juga akan turut terpanggil untuk berselawat sama (berdoa) bagi kita yang berselawat dan malah apabila para Malaikat berselawat (mendoakan kita) kerana kita berselawat, maka Allah juga akan berselawat (mendatangkan rahmat dan maghfiratNya) kepada kita, dan bahkan apabila Allah berselawat, maka tiada terkecuali apa yang ada di langit dan di bumi, berupa hidup-hidupan di laut, pohon-pohon, burung-burung, binatang-binatang liar dan binatang-binatang ternakan, semuanya itu akan turut berselawat (mendoakan) kita yang berselawat. Demikian Ibnu al-Mulqin meriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.

“Demikian, pada saat itu kelak, berkat akan turun dari langit memenuhi bumi Darussalam, ibarat cahaya yang bergemarlapan menembusi segenap sudut dan ruang bumi Darussalam, sehingga membolehkan kita semua dapat bersuluh dengan cahaya tersebut, bukan cahaya lilin atau cahaya lampu biasa, tetapi adalah cahaya berkat, cahaya rahmat dan cahaya syafaat,” jelasnya.




Attachments