Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksPENUBUHAN

PENUBUHAN INSTITUSI FATWA NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

1 April 1962 adalah merupakan tarikh mula tertubuhnya institusi fatwa di Negara Brunei Darussalam iaitu dengan terlantiknya Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz menjadi Mufti Kerajaan Brunei. Perlantikan tersebut adalah atas keprihatinan Almarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi  Waddien, Sultan Negara Brunei ke dua puluh lapan (28), terhadap kepentingan masa depan kedudukan Islam di Negara Brunei Darussalam. Ini terbukti melalui warkah baginda kepada Menteri Besar pada 24 Januari 1961, yang menyatakan:


"Amatlah susah bagi yang sudah kita telah alami, jika terbit satu masalah yang bersabit dengan agama Islam,  jika sebuah negara Islam yang merasmikan agama Islam yang diakui suci tidak  mempunyai seorang ulama yang benar-benar akan bertugas memberatkan atau mengambil berat sama ada dalam memberi fatwa-fatwa dan menghuraikan peraturan dan hukum-hukum dan lain untuk kesentosaan rakyat umat Brunei dan negeri itu."


Pada 21 Oktober 1986, apabila Jabatan Hal Ehwal Ugama dinaikkan tarafnya menjadi Kementerian Hal Ehwal Ugama, Bahagian Fatwa diletakkan dibawah Jabatan Hal Ehwal Syari'ah yang merupakan salah sebuah jabatan daripada beberapa buah Jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.


Pembentukan Jabatan Mufti Kerajaan

Pada 07 November 1994, dengan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Kerajaan telah ditubuhkan secara berasingan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Mufti Kerajaan bertanggungjawab terus kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada menyembahkan apa jua berkaitan dengan tugas-tugasnya sebagai Mufti Kerajaan.


LATAR BELAKANG LANTIKAN MUFTI

Lantikan Mufti bagi Negara Brunei Darussalam buat pertama kalinya diadakan pada zaman pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-28.

Pada 1 April 1962, Kerajaan Johor, telah bersetuju meminjamkan Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz (yang kemudiannya dikenali dengan Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz) dan dilantik menjadi Mufti Kerajaan selama tiga tahun iaitu sehingga 31 Mac 1965. Kemudian beliau diperkenankan berkhidmat semula pada 08 Mac 1967 sehingga beliau kembali ke Rahmatullah pada 03 Februari 1993.

Pada 1 September 1994, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan melantik Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr.Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menjadi Mufti Kerajaan. Lantikan itu kekal hingga sekarang. Sebelum itu Yang Berhormat Pehin adalah Timbalan Mufti Kerajaan sejak 1 Januari 1989. Jawatan Timbalan Mufti Kerajaan kemudian dijawat oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Suhaili bin Haji Mohiddin. Lantikan tersebut bermula 1 September 1994 sehingga 31 Ogos 2015. Pada 01 September 2015, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin dilantik sebagai Timbalan Mufti Kerajaan hingga sekarang.