Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksRaja Brunei Pelopor Penggunaan Vaksin Ketuhanan



RAJA BRUNEI PELOPOR PENGGUNAAN VAKSIN KETUHANAN
(THE KING OF BRUNEI PIONEER IN THE USE OF DIVINE VACCINE)

Penerbit:  Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.
Halaman: 76 muka surat
ISBN: 978-99917-60-88-9
Harga: BND5.00

Mengimbas kembali sejarah,  telah berlaku beberapa wabak penyakit yang amat dahsyat menyerang dunia dan telah mengakibatkan korban jiwa yang amat besar.  Antaranya pada tahun 541 Masihi, wabak The Justinian Plague telah mengorbankan lebih dari 100 juta jiwa. Pada tahun 1347 hingga 1351 Masihi, wabak The Black Death telah mengorbankan 200 juta jiwa. Pada tahun 1918 Masihi, wabak Spanish Flu telah mengorbankan 50 juta jiwa. Pada tahun 2003 Masihi, wabak SARS telah mengorbankan 770 ribu jiwa. Pada tahun 2009 hingga 2010 Masihi, wabak Selsema Babi telah mengorbankan 200 ribu jiwa. Dan sekarang, bermula dari akhir tahun 2019 sehingga pada setakat Mei 2021 ini, wabak Coronavirus telah mengorbankan 3,344,521 jiwa, sementara bilakah ia akan berakhir tidak siapa yang dapat meramalnya.

Dalam membicarakan tentang wabak, di dalam buku ini penulis menjelaskan bahawa menamakan “musibah wabak” sebagai tentera Allah, bukanlah ia satu istilah yang senghaja direka-reka, tetapi adalah satu hakikat yang benar yang telah pun diungkap sendiri oleh Allah, dalam al-Qur’an. 

Dalam hubungan ini juga, katanya Surah al-A‘raaf ayat 133, al-Qur’an telah merakamkan bahawa Allah pernah menghantar pasukan tenteraNya yang terdiri daripada taufan dan makhluk-makhluk belalang, kutu, katak dan darah kepada Fir‘aun dan kaumnya, sehingga telah memporak-perandakan kaum tersebut. Dengan hikmah serta rahsia yang ada di dalam tanganNya sendiri, Allah telah menjadikan makhluk-makhluk yang lemah-lemah ini sebagai bala tenteraNya untuk mengajar para hambaNya yang derhaka.

Kalau sudah begitu, tegasnya apakah tidak layak bagi kita untuk tunduk merendah diri kepada Allah, memohonkan belas kasihan dan keampunanNya, kerana manalah tahu, bahawa wabak yang sedang berlaku ini memang betul-betul ia berpunca daripada dosa-dosa kita manusia, dosa-dosa dunia kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala? Lalu lantaran itu, doa adalah mustahak. Menagih ihsan dan rahmat Allah adalah mustahak, bukan memakai pendekatan bongkak untuk melawan dan memerangi wabak. Kerana andainya virus yang membentuk wabak ini betul-betul ia tentera Allah Ta‘ala, maka tiada siapa pun yang mampu untuk mengalahkannya. 

Jika kiranya wabak ini berakhir pun, maka itu juga tegasnya bukanlah hasil dari perlawanan atau peperangan kita terhadapnya, melainkan ia adalah semata-mata ihsan daripada Allah, dari kuasa dan kehendakNya menarik balik wabak tersebut.

Ketika COVID-19 masih sahaja menghantui dunia, Alhamdulillâh, negara kita, Negara Brunei Darussalam, telah ditakdirkan satu-satunya negara ASEAN yang tidak mencatatkan lagi kes penularan tempatan melebihi masa setahun bermula 06hb. Mei, 2020 yang lalu.

Apakah rahsia di sebalik itu? Jawabnya, orang-orang Brunei secara bersepadu adalah mematuhi pimpinan memagar diri daripada jangkitan. Pagar yang dipakai ialah, selain tidak mengabaikan Standard Operation Procedure (SOP) yang dianjurkan oleh pihak berkuasa kesihatan, Brunei juga secara khusus dan tersendiri menggunakan ‘Vaksin Ketuhanan’ yang dipelopori oleh raja sendiri. Dengan inisiatif dan kemahuan bagindalah Brunei menggunakan ‘Vaksin Ketuhanan’ ini.

Apakah ia Vaksin Ketuhanan itu? Semuanya akan terjawab dalam buku ini, in syâ’ Allah.

Buku ini sebuah buku dwi bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (sebagai terjemahan), mengandungi khutbah khas ‘Idul Fitri tahun 1442 Hijriyyah/2021 Masehi yang disediakan dan disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan di Masjid Omar ‘Ali Saifudddien.  Buku ini juga turut dimuatkan dengan beberapa petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berkaitan dengan ‘Vaksin Ketuhanan’ yang baginda pelopori penggunaannya.